Friday, June 19, 2009

Senangnya Nak Jadi Doktor!

Kisahnya bermula begini.

Di satu tempat yang terpencil, di kawasan pendalaman di sebalik hutan dan bukit, terdapat sebuah keluarga 3 beranak. Emak, anak lelaki dan seorang perempuan, adik kepada si lelaki tadi. Mata pencarian keluarga tadi untuk meneruskan kehidupan bergantung pada hasil hutan yang kemudiannya di bawa ke sebuah kampong seberang di pinggiran hutan untuk dijual atau ditukar dengan makanan dan barang keperluan lain.

Pada satu pagi, terdengar suara si emak ketika selesai mencuci pakaian, "Hey! Abdus, kau tak ke hutan. Kesian adik kau Suri sorang-sorang di dalam hutan tu. Apa jenis abang lah kau ni, kau tahu tak kalau ............."

Tanpa rasa kasihan atau bersalah Abdus segera memotong kata ibunya dan berkata "Mak, mak...., Abdus ingat nak pergi kota Kuala Lumpur lah mak. Orang kampong seberang tu cakap kat sana macam-macam ada, hidup mewah, kereta besar, dan senang nak cari duit. Abdus rasa minggu depan nak ke Kuala lumpur, tak lama, seminggu je. Abdus nak tengok-tengok dulu. Mana tahu ada rezeki."

Emaknya cuba membantah, tetapi Abdus telah menghilang. Abdus tahu dan emaknya pun tahu tiada apa yang dapat merubah rancangannya hendak ke kota besar itu.

Tepat seminggu kemudian Abdus sudah di Kuala Lumpur, hampir terkejut beruk dia melihat keindahan kota dan juga penghuninya. Di mana sahaja, dia melihat duit bertukar tangan. Jual apa sahaja pun laku. 'Kota duit', Abdus tersenyum sendirian.

Terasa tekaknya semakin kering, Abdus berhenti di warung menjual air. Setelah selesai membayar dia duduk di tepi jalan menikmati air tebu sambil memerhatikan sekeliling, masih lagi terpegun dengan kota duit ini.

Betul-betul di hadapannya di seberang jalan, matanya berhenti di sebuah klinik. 'Klinik Dr Zoo' tertulis di papan tanda di klinik itu. Dia melihat orang keluar masuk klinik tak putus-putus. 'Makin banyak duit dan makin banyak pulak sakitnya' terdetik dalam hatinya. Jadi doktor di kota ni mesti boleh jadi kaya, tersenyum lagi dia.

Abdus merapati klinik itu, ingin melihat lebih dekat. Ingin tahu rahsia menjadi jutawan.

Dia melihat pengunjung ramai sekali, sambil menunggu giliran. Dia meninjau lagi, dilihat seorang doktor cukup lengkap dengan pakaian dan alat pemeriksaaan sedang memeriksa pesakit. Kali ini Abdus mengamati dengan cukup tekun dan teliti segala gerak-geri doktor tadi.

Dilihatnya doktor tadi membuka kelopak mata pesakit, disuluhnya biji mata dengan lampu suluh, dan ditepuk belakang pesakit beberapa kali. Mulut pesakit dilihat dibuka luas. Doktor pun suluh lagi ke dalam mulut. Abdus juga memerhati doktor tadi menggunakan alat stetoskop di dada dan perut pesakit. Di perutpun doktor tadi ada menepuk-nepuk dengan jari. Abdus ingat semua itu.

Setelah selesai berjumpa doktor, pesakit tadi mengeluarkan beberapa helai duit merah (4 atau 5 keping) dan di bayar pada jururawat. Abdus agak-agak untuk kerja 5-10 minit, boleh dapat RM 40 -RM 50. Ini sudah cukup lumayan, Abdus tersenyum lagi.

Pada 3 hari berikutnya, Abdus terus memerhati gerak-geri doktor ketika memeriksa pesakit. Masih sama, seperti pada hari pertama dulu. Kali ini Abdus sudah mula berani bertanya pada jururawat nama-nama alat yang diguna doktor dan fungsinya.

Setelah puas hati, Abdus kembali ke rumahnya di sebalik hutan dan bukit itu. Belum pun sempat dia membuka kasut dia sudah menjerit, "Emak, Abdus dah balik. Abdus dah jadi doktor, dah boleh mengubati sapa-sapa yang sakit. Kali ini kita pasti kaya mak!. Tengok Abdus dah beli lampu picit, stetoskop....yang ini Abdus dapat tawar harga sampai murah, beli kat tempat ni, Chow Kit. Yang ini pula, baju doktor mak, pun abdus dapat murah juga. Pandaikan Abdus ni mak. Emak jangan risau lagi, Abdus akan jadi doktor untuk keluarga kita dan semua yang kat kampong seberang tu." "Abdus dah belajar semuanya. Dah ada ilmu dan alat sekali." Tersemput-semput nafasnya apalagi dengan semangat yang sedang memuncak.

"Baguslah tu Abdus, mari sini cepat. Kau tolonglah tengok Suri tu, dah 2 hari sakit, panas badannya. Pak Man, mak dah suruh datang ubat adik kau, tapi dia pun tak dapat datang. Sakit juga. Eloklah, lepas Suri ni kau pergilah ke rumah Pak Man. Kau ubat dia pula. Tak sangka anak lelaki mak ni dah berjaya juga akhirnya."

Abdus pun bersiap dengan alatannya dan pakaian rasmi kedoktorannya, lalu memeriksa adiknya Suri. Dibuatnya apa yang telah dipelajari selama 4 hari di klinik Dr Zoo. Sama, tidak berubah walau sikit pun. Dibuka matanya, disuluh. Dibuka mulutnya, disuluh. Satu persatu seperti Dr Zoo sedang memeriksa pesakit. Setelah selesai, Abdus pun biarkan beberapa minit berlalu sebelum bertanya Suri,"Macamana kau, dah baik sikit?". Suri menggelengkan kepala. Tidak puas hati Abdus ulangi lagi pemeriksaan. Masih tidak sembuh, malah bertambah teruk sakitnya. Abdus ulangi lagi. Keadaan adiknya seperti itu juga.

Abdus kehairanan. "Tak boleh jadi ni, kenapa tak menjadi ni? Aku dah ikut sebiji-sebiji apa yang doktor tu buat." Abdus bertambah bingung.

Esok paginya Abdus sudah tiada di rumah, sedang dalam perjalanan ke klinik Dr Zoo. Dia akan bertemu dengan Dr Zoo, dia nak tanya apa silap dia.

"Dr ni hebatlah, apa jenis makanan doktor makan. Apa ilmu doktor pakai. Saya dah buat macam doktor buat, tapi tak berjaya." Abdus memulakan bicara lalu menerangkan satu persatu kisah perjalanannya menjadi doktor.

Dr Zoo, yang tidak dapat menyembunyikan tawanya, akhirnya berkata dengan tenang, "Anak muda, ini bukan soal makanan atau pakai ilmu. Ingin menjadi doktor harus jalani satu proses pembelajaran. Saya, 6 tahun sekolah rendah, 5 tahun sekolah menegah, 6 tahun lagi untuk ijazah. Tambah lagi 3 tahun kerja di hospital. Baru boleh jadi doktor. Itu pun ada lagi, untuk tahap yang lebih tinggi kalau nak jadi pakar. Itu dari segi pelajaran, dari segi lain pula, mesti ada niat ikhlas, bukan kerana duit. Cara layanan pun kena lemah lembut, perkataan pun yang memberikan semangat. Tidak boleh berkasar. Kita berhadapan dengan orang sakit, harus betul niat dan cara, kalau tidak kita yang sakit hati, pesakit pula mati."

Abdus mendengar dengan teliti, sambil menundukkan kepala.

"Kita, kalau nak menjadi doktor, kena ikut contoh seorang doktor sebelum ia menjadi doktor. Apa yang dia telah perbuat untuk menjadi doktor. Bukan boleh main ikut-ikut selepas dah jadi doktor."

"Bukan doktor sahaja, malah apapun atau siapapun yang kita ingin contohi, periksa dan lihat dulu apa yang dibuatnya, apa amalannya, apa kelazimannya sebelum dia berjaya. Kalau kamu pilih dan contohi dia selepas dia dah berjaya, akan jadi seperti kamu sekarang ini. Kalau orang lihat, dah cukup hebat dengan pakaian dan alatannya, tetapi tidak akan berhasil. Luaran sahaja, ilmunya tiada. Setiap tujuan itu harus menempuh prosesnya." Kata Dr Zoo sebelum menamatkan perbualannya.


Perang Jantan: "Apa, untuk mencontohi Nabi pun begitu??"


1 comment:

  1. Dr. Zoo tu bleh beli MC tak? haha

    ReplyDelete