Wednesday, June 17, 2009

Macamana Nak Cakap Ni

Saya terserempak dengan seorang anak muda sewaktu bersantai minum teh pada suatu petang. Dia ini pernah saya mengajar di dalam kelas 'soft skills' tidak lama dahulu.

'Encik ni, kat saya cakap lain. Dengan orang lain pulak cakap lain. Kalau ada 10 orang, 10 jenis cerita encik bagitau. Yang mana satu yang betul ni? Encik ni penipulah.'

Saya terdiam sejenak. Walaupun saya tahu anak muda ini tiada niat derhaka pada gurunya, tetapi ada kesan-kesan tidak puas hati dalam dirinya meskipun cuba dibaluti dengan nada sempoi. Penipu kah saya? Mungkin ada benarnya. Saya kembali melihat wajahnya. Dalam hati saya berkata 'Alamak... macamana nak cakap ni?'

"Anak muda(sebagai ganti nama), penerimaan dan pemahaman seseorang itu berlainan" saya memulakan bicara. Kali ini lebih berhati-hati.

Saya terangkan dengan memberi beberapa contoh atau perumpamaan.

Dulu semasa saya bersekolah peringkat A-Levels di UK, saya terpaksa menempuh sebuah taman untuk sampai ke sekolah. Di taman ini terdapat pokok bunga, tempat beriadah, tempat bersantai dan beberapa gelanggang tenis. Seringkali terdapat beberapa pasang pemain tenis sedang bermain sebagai satu lagi ketenangan minda atau 'pencuci mata' bagi tetamu di taman ini dan bagi mereka yang menghargai permainan ini.

Seringkali juga ada sepasang pemain ini yang selalu mengacau minda bagi mereka yang menonton. Servisnya selalu sangkut di jaring. Lebih banyak sangkut dari melepasi jaring. Jika sesekali servisnya melepasi ke gelanggang lawan pun tidak dibalas.

OK, bagi mereka yang tidak memahami tenis, akan berkata " Tengok, boring punya game, servis je, habis. Servis je, habis. Tak ada long game. Orang bodoh aje yang main game ni." Bagi mereka yang tahu main tenis pula, "Kalau tak pandai main tenis, main lah tempat lain. Ini tempat public. Malu lah sikit. Bodoh punya orang." Dan bagi mereka yang memahami pula akan mengerti yang dua orang ni tengah berlatih servis agar melepasi jaring tidak lebih 2 inci. Tengah berlatih untuk mendapatkan 'the perfect service'. Nampak gaya memang professional mereka ni.

Nah, saya katakan pada anak muda tadi. Tiga jenis pandangan dan kesimpulan dari tiga jenis manusia. Ini belum masuk lagi yang gila, sakit hati, dungu, yang otak tiga suku dan lain-lain.

Saya teruskan dengan cerita yang ke dua.

Ada 3 adik beradik. Anak bongsu belajar di darjah 2 sekolah rendah. Yang tengah, angah, pelajar tingkatan 2 sekolah menengah dan yang sulong sedang menuntut tahun 2 di universiti.

Satu hari si adik masuk ke bilik angah yang sedang baca buku. Si adik tengok si angah dengan penuh kehairanan. Dia tidak puas hati, lalu bertanya "Peliklah. Angah ni pandai ke baca buku". 'Kenapa?" si angah bertanya balik, dengan kehairanan juga. "Kat sekolah, cikgu ajar membaca itu mesti dengan mengeja, barulah betul. Eja satu-satu. K U......ku, C I N G.....cing - kucing. Ini angah main sebut je, langsung tek mengeja. Si angah tergelak dan tersenyum. 'Alamak macamana nak cakap ni?' Si adik yang tadi hairan kali ini nampak marah pulak. Si angah pun berkata, "Dik, kalau nak tengok lagi pelik, esok cuba tengok si along baca buku."

Esoknya si adik pun menunggu saat Along baca buku. Si along duduk di mejanya, mengeluarkan buku dan terus membaca. Si adik mula bingung lagi hairan kerana kali ini satu suara pun tidak keluar dari mulut along, tetapi sehelai demi sehelai mukasurat buku itu diselak. "Baca ke tak baca ni?" bermain-main di kepala adik tadi. Si adik memberanikan diri dan berkata, "Cikgu along dan cikgu angah tak bagus lah. Tak pandai ajar membaca. Cikgu adik pandai, dia ajar adik mengeja, sebut satu-satu, bila adik dah dengar dan betul barulah adik sebut betul-betul. Along langsung tak ada bunyi. Along pun tak tahu yang along baca tu betul ke tidak." Si along pun berfikir sebentar 'Alamak..macaman nak cakap ni' sebelum menjawab, " Adik, kalau cikgu along salah, cikgu angah salah besok adik 'check' ayah pulak. Tengok cikgu ayah pandai ke tidak. Cikgu ayah suruh ayah lepas baca, tanpa sebarang suara dan tanpa mengeja, terus tidur.

'Nanti adik bila sampai tahap along nanti, adik akan mengerti sendiri"

Nah, bagaimana anak muda. Saya pasti kesemuanya benar. Cikgunya pun benar. Masing-masing betul dalam keadaan masing-masing.

Si anak muda mula tersenyum.

Pesan Guru: Jangan kau bagi makan, makanan enggang pada burung pipit. Makanan tu tak salah, cuma takut tercekik. Kalau bayi kecil diberi makan burger, tak jadi orang dia, mati !!


Perang Jantan - Kuantan

No comments:

Post a Comment