Tuesday, June 9, 2009

Besar Kuping Telinga Mu?

'KUALA LUMPUR: PAS meminta pemimpin kesemua peringkat parti itu dan Pakatan Rakyat supaya berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dengan isu kontroversi idea kerajaan perpaduan.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu tersebut tidak relevan buat masa ini sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Saya merayu kepada seluruh pimpinan PAS dan Pakatan bukan sahaja bekerja keras dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai, saya juga menyeru agar mereka menghentikan segala kenyataan yang berkait dengan isu-isu yang boleh beri kekeliruan kepada penyokong PAS khususnya yang berkaitan dengan kerajaan perpaduan," katanya pada sidang media berkaitan pilihan raya kecil DUN Manek Urai hari ini.'

Petikan di atas di ambil dari mStar Online di bawah tajuk 'Kerajaan perpaduan: PAS arah ahlinya, Pakatan tutup mulut'

***********************************************

Mula-mula dia buka mulut, tetapi setelah timbul kekeliruan dan mungkin juga kebimbangan, dia suruh tutup mulut.

Isu 'Kerajaan Perpaduan' menyebabkan ramai ahli dan penyokong PR tidak selesa malahan ahli dan penyokong PAS sendiri ada yang panas bontot. Bukan itu saja, di luar sana terutama rakyat atas pagar yang bukan ahli mana mana parti pun turut bingung. Apakan tidak!

Pengundi menolak BN ketika PRU 12 kerana yakin BN masa itu tidak layak untuk memimpin, walaupun arus itu tidak cukup besar untuk menolak BN ke status pembangkang di parlimen. Sekarang ini pun BN masih tidak layak atas dasar BN masih tidak berubah meskipun laungan dan desakan untuk 'berubah atau rebah' dicorongkan ke telinga sekelian rakyat saban hari. Namun.. kosong belaka. Yang ada hanya perubahan kosmetik. Perubahan yang tidak ikhlas.

Kalau besi, masih lagi besi mungkin juga dah jadi besi karat.

Kalau dulu besi, jadikan lah ia sekarang lembing, pistol atau bangunan. Barulah perubahan namanya.

Nah! Sekarang PAS yang berubah. Kenapa mahu bersama dengan mereka yang ditolak rakyat. Dah lupa ke? Ingatlah sejarah PRU 12. Atas sebab apa PAS menang besar? Kenapa pengundi memangkah bulan? Apa yang menyebabkan PAS kini begitu mantap? Kenapa? Kerana rakyat tidak mahu mengundi BN, rakyat tolak BN. Rakyat nak bermesra dengan PAS, nak mengenali PAS. Tiba-tiba PAS pula nak bermesra dengan BN. Apa ni? Adakah perlu rakyat, yang menolak BN dan kerana itu memilih PAS, terpaksa melupakan PAS selepas ini?

Isu Kerajaan Perpaduan dah timbul dah dulu sebaik selesai PRU 12 walaupun dirahsiakan. Kemudian atas pandangan Mursyiddul Am PAS yang menolak idea ini, isu ini senyap dan dikira sudah selesai. Rakyat menarik nafas lega. Tup tup, timbul lagi. Hal ini dibangkitkan pula olen Presiden PAS, TGHH, dan dalam muktamar PAS pula tu. Lantaran itu keadaan kembali tegang, jiwa semakin resah dan fikiran semakin kusut. Dalam Blog pelbagai pendapat, tuduhan dan panggilan dibuat baik yang menyokong mahupun yang menolak idea kerajaan perpaduan ini. Sekarang disuruh diam, jangan cakap lagi, buat tak tahu je. Patuh pada pemimpin parti.

Secara jujur, saya ingin mengatakan sekiranya mahu ahli, penyokong PAS dan juga PR tutup mulut, pihak yang membuka mulut itu sendirilah yang seharusnya mengeluarkan kenyataan ini iaitu TGHH sendiri yang menyarankan agar idea ini mungkin tidak kena pada tempatnya, dan ada kekeliruan dari segi penerimaan dan pemahaman. Terangkan secara jujur. Yang lain pasti boleh menerima. Mengapa perlu Datuk Mustafa Ali pula yang bersuara.

Bila ada pilihanraya Manik Urai, disuruh tutup. Takut hilang undi. Bila menang nanti, yang suruh tutup mulut nanti akan bersuara lagi timbulkan balik idea kerajaan perpaduan, atas nama perpaduan. Biar atas nama apa pun, usahkan kongsi kerajaan, perpaduan ke, apa ke, asal nama kerjasama dengan UMNO, terhirislah hati pengundi yang dulu membawa parti itu naik.

Sebenarnya saya pun tidak kisah. Saya cuba melihat dari sudut yang neutral, mana yang tidak kena saya cuba beri pandangan. Atas nama politik, mana-mana parti pun terpalit juga dengan kekotoran politik itu. Permainan politik lah katakan. Saya tidak terikat dengan apa jua parti. Cuma nanti masa PRU saya inginkan kerajaan yang bijaksana, cekap dan adil. Yang tidak mengamalkan rasuah, yang kasihkan rakyatnya dan paling utama yang tidak memperbodohkan rakyatnya.

Semuanya boleh berubah, kepada yang lebih baik. Untuk semua parti. Jangan sampai keburukan yang ada telah bersemadi dan jadi sebati. Kalau sudah sebati, tak dapat lah nak ditolong lagi. Umpamanya ulat tahi. Walau dimandikan, dibersihkan, dishampoo, dibedak, disemburkan minyak wangi.......ia akan tetap pergi ke arah jamban mencari tahi.

Saya tidak boleh mengatakan PAS sudah besar kepala, ianya tidak benar. Cuma tidak salah kalau saya ungkapkan "Besar sudah kah kuping telinga mu?"

Kuping telinga yang satu lagi tu dah pasti gembira mendengar, dah sebesar kuping telinga gajah.


No comments:

Post a Comment