Saturday, November 26, 2011

Sudah Terbalaskah Budi Yang Anda Taburkan Itu?

Anda mengharapkan setiap budi dibalas? Ya, sudah tentu dan pastinya tidak menjadi kesalahan.

Anda pasti pernah baca cerita Ali r.a dan Umar r.a ini. Kisah ini saya baca dari sebuah buku penglipurlara lama dulu, sudah berbelas tahun. Buku ini menceritakan kisah-kisah benar dalam sejarah islam dan terkandung iktibar dan pengajaran.

Umar r.a.mengadu pada Rasulullah s.a.w yang Ali tidak pernah mengucap salam padanya. Nabi pun segera memanggil Ali dan bertanya tentang hal ini.

Ali menjawab, "Benar, ya Rasulullah. Kerana Rasulullah sendiri mengatakan sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, Allah akan dirikan istana untuknya di syurga." dan sambungnya lagi, "kerana itulah aku ingin Umar mendapat istananya di syurga." Lihatlah betapa yakinnya Ali r.a dengan kata-kata Rasulullah dan janji Allah. Istana untuk Umar di syurga.

Apabila teringat cerita ini, saya cuba kaitkan pula dengan Firman Ilahi.

Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Qurannur Karim, " Apabila orang memberi salam kepadamu maka jawablah salam dengan yang terlebih baik daripadanya atau balaslah seumpamanya. Sesungguhnya Allah Maha Menghitung segala sesuatu." Surah An-Nisa' ayat 86

Pengajaran dan pelajaran di sini, kalau kita ambil skop lebih luas, kita harus membalas kebaikan dengan balasan yang lebih baik. Contoh, kalau isteri saya hadiahkan seukir senyuman ketika menyambut saya di depan pintu, maka sewajarnya saya balas balik dengan 3 kuntum senyuman yang lebih menawan, atau lebih dari itu.

Maka dengan sebab itu jugalah, dalam majlis perkahwinan, hantaran 5 dulang akan dibalas 7 dulang. Mesti lebih banyak, lebih baik dan lebih berharga namun tak semestinya lebih mahal.

Sekira semua kita mengambil ilmu ini sebagai amalan harian, bayangkan betapa indah hidup ini.

  • Anda beri jiran anda 2 biji buah mangga. Itupun pokok mangga itu sudah ada dan berbuah ketika pindah ke rumah itu. Jiran anda balas dengan 5 biji epal atau nenas atau tomato. Wah..!
  • Hari itu kawan anda tiada duit nak makan. Oleh sebab duit anda tak berapa nak cukup, anda belanja makan nasi layuk sayur dan telur mata aje. Hari ini tiba-tiba dia telefon sebab nak belanja makan nasi arab lauk kambing panggang. Pehh...! 
  • Sedang memandu di Kesas Highway, ada kereta lama tersadai tepi jalan. Anda perlahankan kereta, saat itu bermain di kepala anda, "Ada lagi kereta tua macam ni, padan muka... kan dah rosak. Buat semak jalan je." Semakin dekat, anda dapati kawan lama anda rupanya yang empunya dinosaur ini. Tak apa lah anda tolong juga. Tup-tup, selang beberapa lama kemudian anda dapati kawan anda muncul depan rumah. Katanya nak balas jasa, dan hadiahkan sebuah kereta baru. Siapa sangka dulu penternak lembu 5-6 ekor sekarang dah ada ladang besar, kondo mewah dan kereta berbaris-baris.
Ok, tak salahkan berimaginasi serba sedikit?


Kalaulah kita boleh seyakin Ali r.a atau sahabat Rasulullah yang lainnya. Kalaulah.......

Mereka yakin yang apabila mereka derma RM1 ringgit, pasti akan dapat ganjaran RM10.

Kita....? Nak tolong orang, kita tengok dulu orang tu macamana. Ok ke, ada duit ke, mak bapak dia ada tanah ke, ada contact dengan Rosmah ke......... kita dah mula menghitung balasan yang kita boleh dapat. Kalau rasa tak berbaloi dan tak balik modal..... pergi jalan lah.


Kalau tidak dapat upfront, duit kopi O, duit minyak, kamsen atau upah memang susah nak hulur bantuan. "Apa aku dapat? Buat penat aje." 'No money, no talk." Pertolongan kita bersyarat. Asalkan syaratnya duit.


Apabila dijanjikan satu pekerjaan baik akan dibalas 10 kebaikan, kenapa sangat sedikit yang berlumba berbuat kebaikan. Tidak yakin? atau atas sebab balasannya bukan dalam RM?


Konsep amalan dan balasan memang terkandung utuh dalam Islam. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan walau sekecil atau seberat zahrah. Begitu sebaliknya dengan perbuatan jahat.

Kita seharusnya mengharapkan usaha, kerja dan amal baik kita pasti dibalas berlipat kali ganda oleh Allah. Dan kita juga semestinya yakin usaha jahat kita pasti akan dibalas, lambat atau cepat. Jangan main rembat je harta orang lain.

Ini bukan bab ungkit mengukit. Jangan. Nanti terbatal semua hasil usaha kita. Urusan kita dengan manusia, balasannya dari Allah jua. Tuntutlah dengan Allah. Ini kita yakin dengan benar janji Allah. Apakah hasil yang lebih baik dari mencapai keredaan Allah dan bertemu denganNya.

Jadi, dengan semangat dan penghayatan ilmu yang yang terkandung dalam peristiwa dan sejarah Islam ini saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah.

Selamat Berhijrah!