Saturday, November 19, 2011

Batu Karang - Catatan Peribadi Untuk Blogger dan Pelayar Internet Part 1

Risiko besar yang berhadapan dengan anda dan saya masa kini ialah penyakit batu karang. Ia didatang khas untuk pelayar internet yang meluangkan banyak masa di depan komputer, laptop, tablet, ipad dll dan juga pegirim tegar sms yang sering berbalas sms hingga satu topik melangkau berjam-jam.



Pendek kata, bagi mereka yang duduk berjam-jam tidak bergerak-gerak dok asyik melayan facebook, sms, blackberry, blog, internet, tengok movie secara marathon .... apa saja - WASPADA! Anda mungkin menerima kunjungan khas berupa penyakit batu karang ini.

Saya berani berkata demikian kerana saya telah diserang hendap tanpa amaran awal oleh penyakit ini. Masanya - ketika sedang tidur pukul 4/5 pagi. Modus operandinya - tiada modus, sukahati dia bila dia nak, atau asal boleh.

Maka bermulalah episod pertama saya dalam usaha menangani, merawat dan mengenal hati budi penyakit ini.

Pada mulanya saya sangka sakit perut sebabnya ialah sakit tu terasa di bahagian perut, lalu terus ke tandas. Dalam keadaan yang amat mengantuk kerana keletihan dan kepenatan, saya duduk agak lama tapi hasilnya tiada. Tiada yang keluar tapi masih lagi sakit.

Setelah menyedari ini bukan sakit perut biasa, saya pun mengalah dan terus berehat dengan harapan sakit akan hilang. Atau paling tidak pun saya boleh menahan sakit ini. Sedangkan pisau tertusuk di betis pun saya boleh tahan inikan pula sakit seperti ini.

Keadaan menjadi kacau bilau apabila batu karang ini meningkatkan serangan bertubi-tubi dengan kuasa kuda yang lebih tinggi.

Saya tak boleh bertahan lagi semakin menusuk sakitnya seperti ada pisau dalam perut. Berguling-guling dengan aksi pelbagai gaya saya di atas katil, di lantai, dan di sofa. Mengaku tewas saya pun menuju ke hospital.

Disahkan oleh doktor saya ada kandungan protin yang tinggi dalam buah pinggang - simptom batu karang. Ok saya boleh terima itu, nak buat macamana lagi, takkan tak boleh terima hakikat. Yang saya tak boleh terima ialah pertanyaan selamba dari doktor tu "sakit ke, nak pain killer?". MasyaAllah, rasa macam nak belit je leher doktor tu dengan stetoskop. Kalau boleh saya nak telan terus 3 biji pil pain killer masa itu, kalau diberi peluang.

Tapi saya, dengan agak tenang terpaksa menjawab "boleh juga, sakit juga ni.", walaupun terasa sangat sakit di perut apalagi kalau nak dicampur sakit di hati. Doktor ni biar betul, tak apalah mungkin belum pernah dapat sakit ni atau belum pernah terima pesakit sesakit ini.

Apa lagi yang saya diberitahu; tekanan darah yang tinggi sekitar 140. Ok, tak heran, itu dah lama saya tahu. Masih mengekalkan paras dan kedudukan yang sama. Cuma batu karang ni yang agak misteri dan mengganggu minda kerana tidak banyak yang saya tahu, dan tiada sesiapa dalam keluarga saya pernah mengalaminya - sekurang-kurangnya tiada sesiapa yang bagi tahu.

Lalu diberi 2 jenis ubat; painkiller dan ubat untuk menghancurkan batu karang dalam bentuk serbuk untuk dilarutkan dengan air. Hai, sakit begini teruk dan siksa 2 ubat je dia bagi. Saya congak ubat ini boleh bertahan selama 4 hari. Dalam masa 4 hari ubat ini akan habis dan maknanya penyakit ini dah tiada lagi.

Balik rumah saya terus buat research & development pasal penyakit ini - melalui online. Bermula era melayan internet pasal nak lengkapkan R&D ni. Setelah berlayar ke sana dan ke mari, dan melewati beratus laman web saya temui penemuan baru iaitu pendapat umum yang mengatakan penyakit batu karang ini cenderung terjadi pada mereka yang saya sebutkan di atas, kerana zaman teknologi dan internet ini, yang duduk lama tanpa pergerakan melayan teknologi telekomunikasi tercanggih yang selalu saja ada pembaharuan.

Yang membingungkan ialah kerja saya di luar, banyak trip outstation, banyak pergi site, tak reti nak layan facebook ke apa ke. Dia tak tahu ke, pasal ini batu karanglah saya dah jadi macam 'potato couch', tercongok depan laptop, tiada inertia untuk bergerak. Ironi betul. Kalau macam ini batu karang saya ni jadi batu lesung.

Tapi betul juga bila fikirkan kembali, walau pun saya sering keluar dan outsation, kebanyakan kerja saya adalah duduk setempat tanpa pergerakan. Banyak menahan kencing, maklumlah 'on the move', lambat sikit nak jumpa tandas yang wangi dan bersih. Dan banyak lagi info dan maklumat yang saya perolehi yang saya praktikkan untuk bebas dari penyakit ini.

Ringkasnya, 4 hari berlalu dan batu karang masih di situ. Seterusnya adalah perjuangan intensif melawan penyakit ini menggunakan rawatan alternatif iaitu rawatan online sehingga saya berjaya dan ini berlaku dalam 4 hari yang berikutnya.

Dalam Part 2, saya akan berblog untuk menceritakan modus operandi dan tips yang saya gunapakai untuk menghilangkan batu karang ini. Semoga ada manfaat bagi mereka yang ingin bebas terus dari penyakit ini kerana menurut pakcik Google, penyakit ini akan berulang.