Tuesday, January 10, 2012

Anwar Bebas... Mahkamah Bebas?

Pembebasan Anwar dari tuduhan sodomi 2 melambangkan kebebasan institusi mahkamah. Ini yang dilaungkan oleh PM, mantan PM dan digembar-gemburkan. Sekarang mahkamah sudah bebas, tiada campur tangan kerajaan dalam proses perundangan dan kehakiman negara.

Maka berbondong-bondonglah manusia menerima hakikat baru ini.

Adakah begitu? Mengapa singkat sangat akal mereka? Mengapa memperbodohkan diri sendiri?

Kita tidak melihat kebebasan mahkamah itu dari satu segi sahaja. Atau dari satu kes sahaja. Apa lagi dari satu detik sahaja. Atau samada Anwar bebas atau tidak sahaja. Apa Anwar saja ke yang ada di Malaysia ini.

Apakah yang sepatutnya kita nilai untuk menentukan samada mahkamah bukan sahaja bebas tetapi mesti juga dilihat sebagai bebas? Ini besar bezanya.

Dilihat bebas ini melibatkan persepsi, tanggapan dan keadaan dan suasana yang sebenar-benarnya menunjukkan mahkamah itu bebas dari apa saja campurtangan, tidak berat sebelah dan juga tidak memihak kepada mana-mana pihak - dari awal hingga akhir. Kedua-dua pihak diberi hak yang sama dan seadilnya dari awal hingga akhir.

Kita harus lihat pada proses perjalananan kehakiman. Kita lihat pada tindak tanduk pegawai dalam badan kehakiman. Kita nilai dari perjalanan kes dalam mahkamah.

Adakah meragukan? Atau ada yang semacam tak kena? Adakah permainan atau sandiwara politik di dalamnya? Apa ada kepincangan?

Sebab itu dalam perundangan dan juga penghakiman ada ungkapan bahawa yang dituduh itu mesti ada bukti kukuh melampaui segala keraguan yang munasabah untuk disabitkan dengan pertuduhannya - Beyond all reasonable doubt.

Ya, kita sendiri boleh melihat dan menilai samada makhamah bebas atau tidak. Itu pun andainya kita menilai dengan waras. Andainya kita sendiri yang mengikuti perjalanan sesuatu kes di mahkamah. Andainya kita pertimbangkan kenyataan dan laporan dari kedua-dua pihak. Dan andainya kita juga bebas.

Tidak perlu PM Najib, Anwar, Menteri atau sesiapa... waima mangkuk ayun mana sekalipun untuk mengatakan samada mahkamah itu bebas atau tidak. Tidak perlu diploma atau sarjana atau Phd dalam bidang apa sekalipun untuk itu.

Yang amat perlu ialah keikhlasan dari hati yang mulia dengan niat yang mulia ...... DAN gunakanlah akal itu. Jangan kedekut. Tak luak sel sel dalam kepala otak. Gunakanlah dan fikirkan. Jangan jadi pak turut. Jangan jadi pencacai politik. Bebaskanlah diri sendiri.