Tuesday, January 17, 2012

SAMPAH LAKNAT

Sampah menjadi sumber rezeki. Sampah juga menjadi sumber fitnah. Yang lagi hina dan menyampahkan ialah apabila sampah menjadi permainan dan sandiwara politik. Ini, kita katakan politik sampah.

Saya masih tetap dalam pendirian bahawa hal-hal politik biar ahli politik yang uruskan. Kita tidak tahu mainan, sandiwara atau drama yang diputarkan oleh mereka. Cuma, sebagai rakyat, kita harus pandang secara objektif dan lahirkan pandangan berdasarkan pengalaman sendiri atau kenyataan berfakta.

Begitu juga, pengusaha atau ahli perniagaan - mereka harus tumpu pada perniagaan atau kerja mereka. Yang menjadi bercelaru dan menimbulkan banyak masalah ialah apabila ahli perniagaan bertindak sebagai ahli politik dan ahli politik masuk campur urusan perniagaan.

Ini yang berlaku sekarang di negeri Selangor yang masih lagi terkesan dari isu sampah ini.

Ada 2 sudut melihat isu sampah di Selangor ini. Keadaannya semakin baik walaupun masalah ini belum dapat diselesaikan di banyak tempat lagi .

Saya melahirkan pandangan sebagai salah seorang penduduk Bangi. Sampah di depan rumah masih lagi belum dikuitip sejak hampir 2 minggu.

Kerajaan Selangor (PR) mendakwa isu sampah ini adalah permainan jahat pembangkang (BN). Kontraktor asal bertindak tidak menunaikan tanggungjawab dan janji untuk meneruskan perkhidmatan kutipan sampah yang masih ada 2 minggu lagi. Sistem pemilihan baru telah diujudkan dan kontraktor baru dan lama turut serta. Sudah tentu ada yang terpilih dan ada yang tidak. Yang pastinya kontraktor Alam Flora telah ditamatkan fungsinya sebagai 'main contractor'.

Ada juga dakwaan bahawa berlaku ugutan dan halangan untuk kontraktor baru melaksana tugas kutipan sampah. Laporan polis juga sudah dibuat. Alam Flora telah menafikan pihak mereka sabotaj pelaksanaan kutipan sampah.

Pihak pembangkang (BN) pula mengatakan ini bukti jelas kerajaan Selangor gagal dalam perkhidmatannya kepada rakyat. Ada MB, atau EXCO negeri atau PBT mahu menidakkan tuduhan ini. Walau apapun alasan dan dakwaan, jika tiada perubahan atau tindakan, tidak perlu BN mengatakannya, rakyat sendiri akan mula bersuara.

Kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Selangor, saya ingin menyatakan:

1. Isu sampah dan kebersihan kawasan rumah adalah isu besar dan sangat dekat di hati. Juga dekat di mata; bayangkan setiap kali keluar rumah ke tempat kerja kita melihat selerakan sampah di depan rumah kita. Sampah yang kita segera hendak nyahkan dari dalam rumah rupanya ada lagi, tak jauh pun. Depan rumah je. Juga dekat di hidung; bau-bauan yang busuk masih lagi menyelinap masuk ke lubang hidung. Tidak tahu kita samada esok bau ini masih ada atau tidak. Penantian dan pengharapan adalah satu penderitaan.

Jadi - jangan pandang remeh isu ini. Lakukan sesuatu dan dengan segera.

2. Ramai antara kita semuanya masih bersifat kemaafan, ...... selagi terdaya. Kita mengandaikan, tak apalah... esok/lusa ada kot(kontraktor pengakut sampah ni). Tetapi, setiap benda ada hadnya. Satu minggu boleh tahan lagi, kalau 2, 3......

Sekiranya 2 kali kontraktor tidak datang sahaja sudah penuh bakul sampah. Kalau 2 minggu, ini bermakna sudah 5/6 kali tidak datang kutip sampah. Boleh YB-YB semua bayangkan sampah yang berselerak di sepanjang jalan? Suasana ini sudah pastinya mengundang anjing, kucing dan makhluk seumpamanya merobek merobek sampul plastik sampah ini. Masalah besar lain pula akan menyusul seperti penyakit, wabak dan sebagainya.

Saya sendiri, masih ada 2 karung sampah di dalam rumah. Nak letak di luar, dah tak ada ruang, sampah jiran nak mencerobohi sempadan ke sebelah kawasan saya. Jadi saya simpan dulu, dengan harapan, esok/lusa OK kot.

Jadi - jangan abaikan perasaan rakyat, kelak hilang kuasa nanti. Lakukan sesuatu dengan segera.

3. Dalam isu ini, kerajaan negeri Selangor telah membuka ruang yang cukup luas untuk pihak pembangkang (BN) untuk menghentam kerajaan dan boleh menjadi modal besar dalam PRU nanti. Bagi rakyat yang mengalami secara langsung masalah ini, isu ini boleh menjadi faktor penentu samada mahu memilih kerajaan yang sama lagi. Kerajaan Selangor akan dihebohkan sebagai tidak mampu menangani isu yang penting ini.

Kerajaan Selangor boleh memberi alasan sabotaj atau hasutan berkali-kali seperti saya sebut di atas, tetapi sekiranya tiada  usaha yang pantas menyelesaikan masalah ini, rakyat mungkin tidak boleh maaf lagi. Kerajaan ini akan dianggap kerajaan yang lemah.

Jadi - tindakan yang pertama dan utama yang MESTI dilakukan SEKARANG ialah menyelesaikan masalah ini, sekali lagi SEKARANG juga, dengan apa cara sekalipun. Ikhtiarkan pasti ada jalannya.

4. Sebenarnya PM Najib terlepas peluang keemasan untuk membuat pukulan KO kepada kerajaan Selangor. Jika hari ini dia mengumumkan akan menyelesaikan masalah ini dengan tujuan ikhlas sebab prihatin kepada rakyat Selangor, dan esoknya dia pastikan semua kotraktor berkerja mengangkut semua sampah, yang pasti ia akan mendatangkan kesan sangat negatif pada kerajaan Selangor. Apa nak kata lagi? Dia boleh buat apa saja.

Rasa-rasa macamana perasaan rakyat sekarang? Sepantas kilat, sampah dah tiada, mata senang, hati pun senang. Dengan sedikit lagi imbuhan wang ringgit atau sepaket beras dan gula, apa agaknya yang pengundi akan pangkah di kertas undi nanti?

Jadi - nasihat yang serupa, bertindak cepat. Ujudkan segera unit in-house mengangkut sampah untuk menghadapi masalah kontraktor gagal hadir dan juga dalam keadaan yang terdesak dan emergency seperti sekarang ini.

Akhir kata, lakukan tindakan drastik untuk tutup terus masalah ini. Pemangsa politik berkeliaran di luar sana. Blogger pencacai profesional yang diupah akan terus menerus memfitnah dan menyerang. Apa boleh buat, dah kerja dia, sumber rezeki dan menjadi darah daging dia. Pengusaha sampah pula bersifat lebih sampah dari sampah, menidakkan kepentingan rakyat atas sebab politik kebencian. Rakyat pula ada tahap kesabarannya.

Tetapi apa pun alasannya, sekira isu tidak dapat di atasi segera (bermaksud SEKARANG), maka kerajaan yang ada sekarang akan dianggap lemah. Isu ini akan bermain-main semasa PRU nanti. Janganlah rasa terkejut atau terkilan sekiranya hilang kuasa nanti.

Kerajaan rasuah tapi efficient atau kerjaan bersih tapi lemah. Boleh pilih mana suka, tapi jangan pilih kerajaan rasuah lagi lemah.