Monday, July 27, 2009

Pangkat Rohani 1 - Sesat di Syurga

Seorang anak muda, yang sangat rajin mengerjakan ibadah, atas nasihat sahabatnya telah datang menemui seorang tua yang alim di pinggir bandar. Sahabatnya telah mengatakan tidak rugi berjumpa dengan orang alim itu walau kita rasa sudah tinggi ilmu kita atau sudah rasa banyak amal kebajikan yang kita lakukan. Ilmu itu sangat luas, kalau semua air di lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Allah ini, pasti kering lautan di dunia namun ilmu Allah tidak ada penghabisannya.

Anak muda ini bukan calang-calang orang. Dengan ilmunya yang tinggi, tidak ramai yang berjaya jika ingin berdebat dengannya.

Sejurus bertemu dengan orang tua tadi, dia pun menyatakan bahawa harapannya untuk masuk ke syurga Allah dengan amal ibadah yang dia telah lakukan, ibadah wajib dan sunat, seringkali berpuasa sunat, selalu membaca malah sudah menghafal Al Quran, dan untuk insan lain juga dia selalu berkorban untuk mengurangkan beban kesusahan. Bahkan ada buku catatan semua perkara kebaikan yang dia telah lakukan. Kalau malaikat penulis amal baik di sebelah kanannya menunujukkan buku catatannya, saling tak tumpah.

“Saya rasa sudah cukup baik apa yang saya kerjakan, Tuan….”

“Apa yang sudah kamu lakukan, anak muda?’

“Segala amal ibadah dan amal kebajikan untuk tiket ke syurga nanti”

“Kamu merasakan segala amalanmu itu datang dari kau sendiri”

Pemuda itu terdiam sejenak……lalu berkata,

“Bukankah semua itu hasil usaha dan penat lelah saya dalam menjalankan perintah dan menjauhkan larangan Allah”

“Siapa yang menggerakkan usaha dan penat lelahmu?”

“Hmmm…………..saya sendiri”

“Jadinya kamu akan masuk syurga kerana amalanmu dan usaha dan penat lelahmu?”

“Ya, sudah tentu”

“Saya tidak jamin kamu akan masuk syurga, malah kamu mungkin tersesat nanti”

Pemuda itu terkejut dengan jawapan orang tua itu. Mahu juga dia memarahi orang tua itu, namun dia masih dapat mengawal kemarahannya.

“Mana mungkin di syurga nanti ada yang sesat, jangan-jangan Tuan ni mengamal ajaran sesat”

“Kamu benar. Sesat bagi syaitan, petunjuk bagi saya..”

“Bagaiman boleh begitu, tolong terangkan”

“Begini sajalah, kalau semua amalanmu itu ditolak oleh Allah, bagaimana?”

“Ehh, kenapa pulak?”

“Mungkin perbuatan kamu itu,....tidak ikhlas”

“Saya ikhlas, betul. Semuanya ikhlas, malah saya ingat satu per satu”

“Nah, mana mungkin kamu ikhlas kalau masih ingat semua kebaikanmu. Mana mungkin kamu ikhlas sekiranya kamu sudah merasa cukup dengan amalanmu.”

Pemuda itu mula merasa lemah longlai, bingung dan kecewa. Dia mula memikirkan tentang amalan yang tidak diterima tuhan, tentang ikhlas dan tidak ikhlas dan tentang tersesat di syurga.

Melihat keadaan anak muda itu, orang tua lantas menepuk bahunya sambil berkata.

“Wahai anak muda, jangan kecewa, jangan putus asa. Kamu menginginkan syurga Allah itu sudah cukup baik. Tapi bagaimana kalau tidak dapat bertemu dengan Pemilik syurga itu, dengan Pencipta kamu? Contohnya, kamu ingin bertemu dengan sultan di istananya. Setelah melepasi barisan pengawal istana, kamu ternanti-nanti di ruangan entah mana yang kamu sendiri tidak tahu, sedangkan sultan tak muncul-muncul. Adakah kamu rasa sudah cukup selesa atau kamu rasa resah.”

“Jadi, apa yang harus saya lakukan Tuan”

“Kamu seharusnya bermula dengan menuju pada Sang Pencipta syurga, nanti seluruh nikmatnya akan diberikan pada kamu. Amalanmu itu bukanlah tiket ke syurga. Tapi ikhlasmu dalam beramal merupakan wadah untuk mencapai keredaanNya dan juga rahmatNya, yang akan menarik kamu ke dalam syurgaNya.”

Pemuda itu masih kebingungan.

“Begini sajalah anak muda. Mana mungkin syurga tanpa Allah. Mana mungkin neraka bersama Allah.”

Pemuda itu masih tetap dalam kebingungan.


Perang Jantan: Kalau sudah bersama Allah, semuanya syurga.

Pangkat Rohani adalah siri adaptasi dan terjemahan dari pelbagai blog yang terpilih mengenai kehidupan dan penyucian rohani yang boleh diambil pengajaran untuk mengukuhkan kerohanian.

1 comment: