Saturday, November 26, 2011

Sudah Terbalaskah Budi Yang Anda Taburkan Itu?

Anda mengharapkan setiap budi dibalas? Ya, sudah tentu dan pastinya tidak menjadi kesalahan.

Anda pasti pernah baca cerita Ali r.a dan Umar r.a ini. Kisah ini saya baca dari sebuah buku penglipurlara lama dulu, sudah berbelas tahun. Buku ini menceritakan kisah-kisah benar dalam sejarah islam dan terkandung iktibar dan pengajaran.

Umar r.a.mengadu pada Rasulullah s.a.w yang Ali tidak pernah mengucap salam padanya. Nabi pun segera memanggil Ali dan bertanya tentang hal ini.

Ali menjawab, "Benar, ya Rasulullah. Kerana Rasulullah sendiri mengatakan sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, Allah akan dirikan istana untuknya di syurga." dan sambungnya lagi, "kerana itulah aku ingin Umar mendapat istananya di syurga." Lihatlah betapa yakinnya Ali r.a dengan kata-kata Rasulullah dan janji Allah. Istana untuk Umar di syurga.

Apabila teringat cerita ini, saya cuba kaitkan pula dengan Firman Ilahi.

Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Qurannur Karim, " Apabila orang memberi salam kepadamu maka jawablah salam dengan yang terlebih baik daripadanya atau balaslah seumpamanya. Sesungguhnya Allah Maha Menghitung segala sesuatu." Surah An-Nisa' ayat 86

Pengajaran dan pelajaran di sini, kalau kita ambil skop lebih luas, kita harus membalas kebaikan dengan balasan yang lebih baik. Contoh, kalau isteri saya hadiahkan seukir senyuman ketika menyambut saya di depan pintu, maka sewajarnya saya balas balik dengan 3 kuntum senyuman yang lebih menawan, atau lebih dari itu.

Maka dengan sebab itu jugalah, dalam majlis perkahwinan, hantaran 5 dulang akan dibalas 7 dulang. Mesti lebih banyak, lebih baik dan lebih berharga namun tak semestinya lebih mahal.

Sekira semua kita mengambil ilmu ini sebagai amalan harian, bayangkan betapa indah hidup ini.

  • Anda beri jiran anda 2 biji buah mangga. Itupun pokok mangga itu sudah ada dan berbuah ketika pindah ke rumah itu. Jiran anda balas dengan 5 biji epal atau nenas atau tomato. Wah..!
  • Hari itu kawan anda tiada duit nak makan. Oleh sebab duit anda tak berapa nak cukup, anda belanja makan nasi layuk sayur dan telur mata aje. Hari ini tiba-tiba dia telefon sebab nak belanja makan nasi arab lauk kambing panggang. Pehh...! 
  • Sedang memandu di Kesas Highway, ada kereta lama tersadai tepi jalan. Anda perlahankan kereta, saat itu bermain di kepala anda, "Ada lagi kereta tua macam ni, padan muka... kan dah rosak. Buat semak jalan je." Semakin dekat, anda dapati kawan lama anda rupanya yang empunya dinosaur ini. Tak apa lah anda tolong juga. Tup-tup, selang beberapa lama kemudian anda dapati kawan anda muncul depan rumah. Katanya nak balas jasa, dan hadiahkan sebuah kereta baru. Siapa sangka dulu penternak lembu 5-6 ekor sekarang dah ada ladang besar, kondo mewah dan kereta berbaris-baris.
Ok, tak salahkan berimaginasi serba sedikit?


Kalaulah kita boleh seyakin Ali r.a atau sahabat Rasulullah yang lainnya. Kalaulah.......

Mereka yakin yang apabila mereka derma RM1 ringgit, pasti akan dapat ganjaran RM10.

Kita....? Nak tolong orang, kita tengok dulu orang tu macamana. Ok ke, ada duit ke, mak bapak dia ada tanah ke, ada contact dengan Rosmah ke......... kita dah mula menghitung balasan yang kita boleh dapat. Kalau rasa tak berbaloi dan tak balik modal..... pergi jalan lah.


Kalau tidak dapat upfront, duit kopi O, duit minyak, kamsen atau upah memang susah nak hulur bantuan. "Apa aku dapat? Buat penat aje." 'No money, no talk." Pertolongan kita bersyarat. Asalkan syaratnya duit.


Apabila dijanjikan satu pekerjaan baik akan dibalas 10 kebaikan, kenapa sangat sedikit yang berlumba berbuat kebaikan. Tidak yakin? atau atas sebab balasannya bukan dalam RM?


Konsep amalan dan balasan memang terkandung utuh dalam Islam. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan walau sekecil atau seberat zahrah. Begitu sebaliknya dengan perbuatan jahat.

Kita seharusnya mengharapkan usaha, kerja dan amal baik kita pasti dibalas berlipat kali ganda oleh Allah. Dan kita juga semestinya yakin usaha jahat kita pasti akan dibalas, lambat atau cepat. Jangan main rembat je harta orang lain.

Ini bukan bab ungkit mengukit. Jangan. Nanti terbatal semua hasil usaha kita. Urusan kita dengan manusia, balasannya dari Allah jua. Tuntutlah dengan Allah. Ini kita yakin dengan benar janji Allah. Apakah hasil yang lebih baik dari mencapai keredaan Allah dan bertemu denganNya.

Jadi, dengan semangat dan penghayatan ilmu yang yang terkandung dalam peristiwa dan sejarah Islam ini saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah.

Selamat Berhijrah!

Thursday, November 24, 2011

Pengurusan Projek Kerajaan Lemah - PAC.....What's The Matter?!

Tiada yang menarik dalam kenyataan PAC berkaitan isu projek NFC (lagi lagi NFC......) melainkan ianya membenarkan lagi  pandangan dan tangapan umum mengenai projek-projek kerajaan. Malah saya merasakan ia kenyataan yang lembut dan amat berlapik dari pengerusi PAC yang merupakan MP UMNO dan bekas menteri kabinet. Sila lihat Malaysian Insider.

Saya melihat isu ini bukan sekadar kelemahan pengurusan, malah kelemahan mental, spiritual dan kelemahan mengawal nafsu serakah.


Bagi saya dan ramai lagi, telinga, mata termasuk hidung kita sudah lali dengan kes-kes sebegini. Hari-hari dengar, hari-hari lihat dan membaca hinggakan tiada lagi ruang di dada, di rongga telinga dan kepala otak kita untuk menerima satu lagi kes semacam ini. Kalau orang menuntut ilmu, sudah penuh ilmu di dada.

Berulang-ulang sampai semua organ pancaindera jadi lali, hingga mulut kelu tak mampu lagi bersuara... lali dan bisu dan tuli dan...... letih. Tak cukup cukup. What's happening?

'No limits, even sky is not the limit'. Hari-hari mau, tadak cukup ka?

Sebagai rakyat biasa, kesian juga tengok PM 1Malaysia kita DS Najib yang dalam usaha tranformasi, makin banyak pula isu-isu berkaitan kelemahan pengurusan, salah guna kuasa dan rasuah timbul di dada akhbar juga di layar internet. Tetapi bila DS Najib pun 'cool' aje, seolah tiada masalah apatah lagi bila orang-orangnya berpandangan, "small matter, life goes on, stay cool atau we'll take care of it" dan bermacam lagi ayat selamba dan tiada bertanggungjawab..... what more can we say. WTH!

Nampaknya kursus-kursus yang penjawat jawatan awam hadiri tidak berkesan. Kursus sebegini begitu banyak sekali tentang kemimpinan lah, integriti lah, pengurusan lah, cemerlang terbilang lah, KPI lah dan beratus lagi. Datang, hadiri kursus dan pulang terus lupa. Hati senang, datang lenggang, perut kenyang namun sayang sekali tiada impak, sekurang-kurangnya itulah yang ditonjolkan pada rakyat. What's new!

Perlu diingat segala macam undang-undang, peraturan, terma dan syarat, standard of procedure(SOP) dan segala bentuk checklist ketika berurusan dengan kerajaan adalah untuk anda dan saya, rakyat biasa. Bagi mereka golongan atasan dan geng-geng elit mereka, "none of your business". WTF!

Kelemahan akan membentuk banyak kelemahan. Pemimpin kelas 2 akan melahirkan lebih banyak pelapis pemimpin kelas 2.  Bak kata orang putih "garbage in, garbage out". Mereka akan terus kekal kerana masing-masing cover masing-masing. Setiap orang ada habuannya. What's in it for me!

Saya tidak mahu banyak menyalahkan individu, daripada kita salahkan hujan atau salahkan kucing atau salahkan iblis atau lebih gila lagi salahkan Tuhan, lebih baik pada peringkat awal ini kita salahkan sistem. Sistem yang kini sedia ada yang digunapakai oleh kerajaan sudah kaput, tidak boleh pakai. Sistem ini sudah rosak. Ia bukan rosak secara tiba-tiba, tetapi sudah melalui proses sekian lama yang akhirnya sukar dibendung hingga sampai kemuncak jadi parah maka terjadilah apa yang kita hadapi sekarang. Whatever!

Sistem rosak ini, walaupun rosak, ia kukuh berdiri kerana sudah lama bertapak. Kalau pokok, sudah berbunga, berbuah dan berakar tunjang. Kalau anak muda, sudah berkahwin dan beranak penak dan bercicit, sampai terbentuklah keluarga yang besar. Begitu demikian sifatnya, sistem harus ditukar, hendak tak hendak.

Tetapi ingin menukar sistem perlu menukar orangnya. Kerana akhir sekali oranglah yang menentukan sistem. Sering kita 'identify' kejayaan sesuatu pada ketuanya iatu orang. Sekira syarikat berjaya dan untung berlipat ganda, kita puji CEOnya. Sekira negara berjaya kita sanjung PMnya. Sekira menang perang kita tabik pada generalnya. Sekira anak orang hebat berjaya kita kagum ibu dan bapanya (namun sekira anak perangai macam monyet besar, ibu bapa akan menjawab, " dia dah besar panjang, dia buat keputusan sendiri').

Jadi sebagai rakyat Malaysia yang masih ada hormat pada PM negaranya, saya ingin melahirkan isi hati agar PM nyahkan atau jauhkan orang-orang yang berperangai ala syaitan ini dari memikul sebarang jawatan bersifat awam atau kerajaan termasuk pada peringkat menteri. Tanggungjawab dan amanah rakyat terletak di bahu kamu dan mereka. Kamu juga ada amanah sebagai pemimpin terhadap Allah. Sekira tidak, kami takut kamu akan ditolak nanti. Tetapi nak difikir-fikir balik kami tidak kisah pun. Who cares anymore!

Sejarah keagungan tamadun islam yang mempunyai pemimpin agung menyimpan pengajaran berguna dan contoh teladan dalam kehidupan seharian, termasuk panduan memilih mereka untuk jawatan penting kerajaan. Sebagai contoh, yang dinilai oleh pemimpin islam ketika zaman keagungan empayar Ottoman ialah akhlak keperibadian islam, yang teguh dalam amal solehnya. Di samping itu kebolehan semulajadi dan juga keahlian atau kepakaran. Dalam banyak hal ilmu dan kemahiran boleh dipelajari dan dididik tetapi keimanan dan akhlak memerlukan lebih dari itu.

Banyak yang berugama tetapi tidak bertuhan. Tuhan yang semua mengaku tiada lain yang disembah melainkan Dia hanya tinggal Tuhan di sejadah rumah dan di masjid. Masa-masa lain Tuhan dilupa dan benda lain yang dipuja.

PJ