Showing posts with label Cerita dari Guru. Show all posts
Showing posts with label Cerita dari Guru. Show all posts

Saturday, November 26, 2011

Sudah Terbalaskah Budi Yang Anda Taburkan Itu?

Anda mengharapkan setiap budi dibalas? Ya, sudah tentu dan pastinya tidak menjadi kesalahan.

Anda pasti pernah baca cerita Ali r.a dan Umar r.a ini. Kisah ini saya baca dari sebuah buku penglipurlara lama dulu, sudah berbelas tahun. Buku ini menceritakan kisah-kisah benar dalam sejarah islam dan terkandung iktibar dan pengajaran.

Umar r.a.mengadu pada Rasulullah s.a.w yang Ali tidak pernah mengucap salam padanya. Nabi pun segera memanggil Ali dan bertanya tentang hal ini.

Ali menjawab, "Benar, ya Rasulullah. Kerana Rasulullah sendiri mengatakan sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, Allah akan dirikan istana untuknya di syurga." dan sambungnya lagi, "kerana itulah aku ingin Umar mendapat istananya di syurga." Lihatlah betapa yakinnya Ali r.a dengan kata-kata Rasulullah dan janji Allah. Istana untuk Umar di syurga.

Apabila teringat cerita ini, saya cuba kaitkan pula dengan Firman Ilahi.

Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Qurannur Karim, " Apabila orang memberi salam kepadamu maka jawablah salam dengan yang terlebih baik daripadanya atau balaslah seumpamanya. Sesungguhnya Allah Maha Menghitung segala sesuatu." Surah An-Nisa' ayat 86

Pengajaran dan pelajaran di sini, kalau kita ambil skop lebih luas, kita harus membalas kebaikan dengan balasan yang lebih baik. Contoh, kalau isteri saya hadiahkan seukir senyuman ketika menyambut saya di depan pintu, maka sewajarnya saya balas balik dengan 3 kuntum senyuman yang lebih menawan, atau lebih dari itu.

Maka dengan sebab itu jugalah, dalam majlis perkahwinan, hantaran 5 dulang akan dibalas 7 dulang. Mesti lebih banyak, lebih baik dan lebih berharga namun tak semestinya lebih mahal.

Sekira semua kita mengambil ilmu ini sebagai amalan harian, bayangkan betapa indah hidup ini.

  • Anda beri jiran anda 2 biji buah mangga. Itupun pokok mangga itu sudah ada dan berbuah ketika pindah ke rumah itu. Jiran anda balas dengan 5 biji epal atau nenas atau tomato. Wah..!
  • Hari itu kawan anda tiada duit nak makan. Oleh sebab duit anda tak berapa nak cukup, anda belanja makan nasi layuk sayur dan telur mata aje. Hari ini tiba-tiba dia telefon sebab nak belanja makan nasi arab lauk kambing panggang. Pehh...! 
  • Sedang memandu di Kesas Highway, ada kereta lama tersadai tepi jalan. Anda perlahankan kereta, saat itu bermain di kepala anda, "Ada lagi kereta tua macam ni, padan muka... kan dah rosak. Buat semak jalan je." Semakin dekat, anda dapati kawan lama anda rupanya yang empunya dinosaur ini. Tak apa lah anda tolong juga. Tup-tup, selang beberapa lama kemudian anda dapati kawan anda muncul depan rumah. Katanya nak balas jasa, dan hadiahkan sebuah kereta baru. Siapa sangka dulu penternak lembu 5-6 ekor sekarang dah ada ladang besar, kondo mewah dan kereta berbaris-baris.
Ok, tak salahkan berimaginasi serba sedikit?


Kalaulah kita boleh seyakin Ali r.a atau sahabat Rasulullah yang lainnya. Kalaulah.......

Mereka yakin yang apabila mereka derma RM1 ringgit, pasti akan dapat ganjaran RM10.

Kita....? Nak tolong orang, kita tengok dulu orang tu macamana. Ok ke, ada duit ke, mak bapak dia ada tanah ke, ada contact dengan Rosmah ke......... kita dah mula menghitung balasan yang kita boleh dapat. Kalau rasa tak berbaloi dan tak balik modal..... pergi jalan lah.


Kalau tidak dapat upfront, duit kopi O, duit minyak, kamsen atau upah memang susah nak hulur bantuan. "Apa aku dapat? Buat penat aje." 'No money, no talk." Pertolongan kita bersyarat. Asalkan syaratnya duit.


Apabila dijanjikan satu pekerjaan baik akan dibalas 10 kebaikan, kenapa sangat sedikit yang berlumba berbuat kebaikan. Tidak yakin? atau atas sebab balasannya bukan dalam RM?


Konsep amalan dan balasan memang terkandung utuh dalam Islam. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan walau sekecil atau seberat zahrah. Begitu sebaliknya dengan perbuatan jahat.

Kita seharusnya mengharapkan usaha, kerja dan amal baik kita pasti dibalas berlipat kali ganda oleh Allah. Dan kita juga semestinya yakin usaha jahat kita pasti akan dibalas, lambat atau cepat. Jangan main rembat je harta orang lain.

Ini bukan bab ungkit mengukit. Jangan. Nanti terbatal semua hasil usaha kita. Urusan kita dengan manusia, balasannya dari Allah jua. Tuntutlah dengan Allah. Ini kita yakin dengan benar janji Allah. Apakah hasil yang lebih baik dari mencapai keredaan Allah dan bertemu denganNya.

Jadi, dengan semangat dan penghayatan ilmu yang yang terkandung dalam peristiwa dan sejarah Islam ini saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah.

Selamat Berhijrah!

Tuesday, August 18, 2009

TASAWWUF

“Sesungguhnya menanglah orang yang suci hatinya. Dan menyebut nama Tuhannya, dan bersolat” - Surah Al-A’laa, (ayat:14-15)


“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” – Surah Asy-Syams(ayat:9-10)


“Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Peranan tasawuf adalah dalam menjernihkan hati, menimbulkan rasa kehambaan pada Allah dan juga memperbaiki akhlak dan adab ketika berhubungan dengan Allah mahupun sesama manusia.

Alangkah indahnya jika bukan sahaja jasmani kita mengamalkan syariat Allah dengan sempurna, malah disertakan dengan keikhlasan rohani.

Alangkah indahnya jika bukan sahaja jasmani kita bersih dan cantik, malah rohani kita dipenuhi dengan kesucian cinta padaNya.

Di sini dimuatkan pendapat Prof. Dr. Ali Jumuah, Mufti Kerajaan Negara Mesir yang dinaqalkan daripada Al-Bayan Lima Yashqholu Al-Azhan, cet. Al-Muqattam, Kaherah, hlm. 328-331 (terjemahan dari teks dalam bahasa arab)

Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.

Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا


Yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ


Yang bermaksud :
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza. Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.

Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".

Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan. Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan. Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.

Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ


Yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita. (Teks mufti ini dipetik dari sumber: http://ustazazhar.com/v1/tasawwuf/tasawuf.html )

Saya akan sambung lagi 'Tasawwuf' ini dengan penyaksian dari ulama besar fiqih berkaitan tasawwuf pada tulisan seterusnya.


Perang Jantan: Kebanyakan kita lupa bahawa usaha atau tindakan yang nyata lebih dipercayai dari seribu ucapan yang hanya ucapan, tidak terlaksana. Mereka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengalaminya. Hanya yang telah melaluinya dapat merasai dan mengerti!

Pesan Guru: Tidak akan sampai pada matahari kecuali cahayanya. Tidak akan sampai pada Tuhan kecuali NurNya.

Friday, June 19, 2009

Senangnya Nak Jadi Doktor!

Kisahnya bermula begini.

Di satu tempat yang terpencil, di kawasan pendalaman di sebalik hutan dan bukit, terdapat sebuah keluarga 3 beranak. Emak, anak lelaki dan seorang perempuan, adik kepada si lelaki tadi. Mata pencarian keluarga tadi untuk meneruskan kehidupan bergantung pada hasil hutan yang kemudiannya di bawa ke sebuah kampong seberang di pinggiran hutan untuk dijual atau ditukar dengan makanan dan barang keperluan lain.

Pada satu pagi, terdengar suara si emak ketika selesai mencuci pakaian, "Hey! Abdus, kau tak ke hutan. Kesian adik kau Suri sorang-sorang di dalam hutan tu. Apa jenis abang lah kau ni, kau tahu tak kalau ............."

Tanpa rasa kasihan atau bersalah Abdus segera memotong kata ibunya dan berkata "Mak, mak...., Abdus ingat nak pergi kota Kuala Lumpur lah mak. Orang kampong seberang tu cakap kat sana macam-macam ada, hidup mewah, kereta besar, dan senang nak cari duit. Abdus rasa minggu depan nak ke Kuala lumpur, tak lama, seminggu je. Abdus nak tengok-tengok dulu. Mana tahu ada rezeki."

Emaknya cuba membantah, tetapi Abdus telah menghilang. Abdus tahu dan emaknya pun tahu tiada apa yang dapat merubah rancangannya hendak ke kota besar itu.

Tepat seminggu kemudian Abdus sudah di Kuala Lumpur, hampir terkejut beruk dia melihat keindahan kota dan juga penghuninya. Di mana sahaja, dia melihat duit bertukar tangan. Jual apa sahaja pun laku. 'Kota duit', Abdus tersenyum sendirian.

Terasa tekaknya semakin kering, Abdus berhenti di warung menjual air. Setelah selesai membayar dia duduk di tepi jalan menikmati air tebu sambil memerhatikan sekeliling, masih lagi terpegun dengan kota duit ini.

Betul-betul di hadapannya di seberang jalan, matanya berhenti di sebuah klinik. 'Klinik Dr Zoo' tertulis di papan tanda di klinik itu. Dia melihat orang keluar masuk klinik tak putus-putus. 'Makin banyak duit dan makin banyak pulak sakitnya' terdetik dalam hatinya. Jadi doktor di kota ni mesti boleh jadi kaya, tersenyum lagi dia.

Abdus merapati klinik itu, ingin melihat lebih dekat. Ingin tahu rahsia menjadi jutawan.

Dia melihat pengunjung ramai sekali, sambil menunggu giliran. Dia meninjau lagi, dilihat seorang doktor cukup lengkap dengan pakaian dan alat pemeriksaaan sedang memeriksa pesakit. Kali ini Abdus mengamati dengan cukup tekun dan teliti segala gerak-geri doktor tadi.

Dilihatnya doktor tadi membuka kelopak mata pesakit, disuluhnya biji mata dengan lampu suluh, dan ditepuk belakang pesakit beberapa kali. Mulut pesakit dilihat dibuka luas. Doktor pun suluh lagi ke dalam mulut. Abdus juga memerhati doktor tadi menggunakan alat stetoskop di dada dan perut pesakit. Di perutpun doktor tadi ada menepuk-nepuk dengan jari. Abdus ingat semua itu.

Setelah selesai berjumpa doktor, pesakit tadi mengeluarkan beberapa helai duit merah (4 atau 5 keping) dan di bayar pada jururawat. Abdus agak-agak untuk kerja 5-10 minit, boleh dapat RM 40 -RM 50. Ini sudah cukup lumayan, Abdus tersenyum lagi.

Pada 3 hari berikutnya, Abdus terus memerhati gerak-geri doktor ketika memeriksa pesakit. Masih sama, seperti pada hari pertama dulu. Kali ini Abdus sudah mula berani bertanya pada jururawat nama-nama alat yang diguna doktor dan fungsinya.

Setelah puas hati, Abdus kembali ke rumahnya di sebalik hutan dan bukit itu. Belum pun sempat dia membuka kasut dia sudah menjerit, "Emak, Abdus dah balik. Abdus dah jadi doktor, dah boleh mengubati sapa-sapa yang sakit. Kali ini kita pasti kaya mak!. Tengok Abdus dah beli lampu picit, stetoskop....yang ini Abdus dapat tawar harga sampai murah, beli kat tempat ni, Chow Kit. Yang ini pula, baju doktor mak, pun abdus dapat murah juga. Pandaikan Abdus ni mak. Emak jangan risau lagi, Abdus akan jadi doktor untuk keluarga kita dan semua yang kat kampong seberang tu." "Abdus dah belajar semuanya. Dah ada ilmu dan alat sekali." Tersemput-semput nafasnya apalagi dengan semangat yang sedang memuncak.

"Baguslah tu Abdus, mari sini cepat. Kau tolonglah tengok Suri tu, dah 2 hari sakit, panas badannya. Pak Man, mak dah suruh datang ubat adik kau, tapi dia pun tak dapat datang. Sakit juga. Eloklah, lepas Suri ni kau pergilah ke rumah Pak Man. Kau ubat dia pula. Tak sangka anak lelaki mak ni dah berjaya juga akhirnya."

Abdus pun bersiap dengan alatannya dan pakaian rasmi kedoktorannya, lalu memeriksa adiknya Suri. Dibuatnya apa yang telah dipelajari selama 4 hari di klinik Dr Zoo. Sama, tidak berubah walau sikit pun. Dibuka matanya, disuluh. Dibuka mulutnya, disuluh. Satu persatu seperti Dr Zoo sedang memeriksa pesakit. Setelah selesai, Abdus pun biarkan beberapa minit berlalu sebelum bertanya Suri,"Macamana kau, dah baik sikit?". Suri menggelengkan kepala. Tidak puas hati Abdus ulangi lagi pemeriksaan. Masih tidak sembuh, malah bertambah teruk sakitnya. Abdus ulangi lagi. Keadaan adiknya seperti itu juga.

Abdus kehairanan. "Tak boleh jadi ni, kenapa tak menjadi ni? Aku dah ikut sebiji-sebiji apa yang doktor tu buat." Abdus bertambah bingung.

Esok paginya Abdus sudah tiada di rumah, sedang dalam perjalanan ke klinik Dr Zoo. Dia akan bertemu dengan Dr Zoo, dia nak tanya apa silap dia.

"Dr ni hebatlah, apa jenis makanan doktor makan. Apa ilmu doktor pakai. Saya dah buat macam doktor buat, tapi tak berjaya." Abdus memulakan bicara lalu menerangkan satu persatu kisah perjalanannya menjadi doktor.

Dr Zoo, yang tidak dapat menyembunyikan tawanya, akhirnya berkata dengan tenang, "Anak muda, ini bukan soal makanan atau pakai ilmu. Ingin menjadi doktor harus jalani satu proses pembelajaran. Saya, 6 tahun sekolah rendah, 5 tahun sekolah menegah, 6 tahun lagi untuk ijazah. Tambah lagi 3 tahun kerja di hospital. Baru boleh jadi doktor. Itu pun ada lagi, untuk tahap yang lebih tinggi kalau nak jadi pakar. Itu dari segi pelajaran, dari segi lain pula, mesti ada niat ikhlas, bukan kerana duit. Cara layanan pun kena lemah lembut, perkataan pun yang memberikan semangat. Tidak boleh berkasar. Kita berhadapan dengan orang sakit, harus betul niat dan cara, kalau tidak kita yang sakit hati, pesakit pula mati."

Abdus mendengar dengan teliti, sambil menundukkan kepala.

"Kita, kalau nak menjadi doktor, kena ikut contoh seorang doktor sebelum ia menjadi doktor. Apa yang dia telah perbuat untuk menjadi doktor. Bukan boleh main ikut-ikut selepas dah jadi doktor."

"Bukan doktor sahaja, malah apapun atau siapapun yang kita ingin contohi, periksa dan lihat dulu apa yang dibuatnya, apa amalannya, apa kelazimannya sebelum dia berjaya. Kalau kamu pilih dan contohi dia selepas dia dah berjaya, akan jadi seperti kamu sekarang ini. Kalau orang lihat, dah cukup hebat dengan pakaian dan alatannya, tetapi tidak akan berhasil. Luaran sahaja, ilmunya tiada. Setiap tujuan itu harus menempuh prosesnya." Kata Dr Zoo sebelum menamatkan perbualannya.


Perang Jantan: "Apa, untuk mencontohi Nabi pun begitu??"


Wednesday, June 17, 2009

Macamana Nak Cakap Ni

Saya terserempak dengan seorang anak muda sewaktu bersantai minum teh pada suatu petang. Dia ini pernah saya mengajar di dalam kelas 'soft skills' tidak lama dahulu.

'Encik ni, kat saya cakap lain. Dengan orang lain pulak cakap lain. Kalau ada 10 orang, 10 jenis cerita encik bagitau. Yang mana satu yang betul ni? Encik ni penipulah.'

Saya terdiam sejenak. Walaupun saya tahu anak muda ini tiada niat derhaka pada gurunya, tetapi ada kesan-kesan tidak puas hati dalam dirinya meskipun cuba dibaluti dengan nada sempoi. Penipu kah saya? Mungkin ada benarnya. Saya kembali melihat wajahnya. Dalam hati saya berkata 'Alamak... macamana nak cakap ni?'

"Anak muda(sebagai ganti nama), penerimaan dan pemahaman seseorang itu berlainan" saya memulakan bicara. Kali ini lebih berhati-hati.

Saya terangkan dengan memberi beberapa contoh atau perumpamaan.

Dulu semasa saya bersekolah peringkat A-Levels di UK, saya terpaksa menempuh sebuah taman untuk sampai ke sekolah. Di taman ini terdapat pokok bunga, tempat beriadah, tempat bersantai dan beberapa gelanggang tenis. Seringkali terdapat beberapa pasang pemain tenis sedang bermain sebagai satu lagi ketenangan minda atau 'pencuci mata' bagi tetamu di taman ini dan bagi mereka yang menghargai permainan ini.

Seringkali juga ada sepasang pemain ini yang selalu mengacau minda bagi mereka yang menonton. Servisnya selalu sangkut di jaring. Lebih banyak sangkut dari melepasi jaring. Jika sesekali servisnya melepasi ke gelanggang lawan pun tidak dibalas.

OK, bagi mereka yang tidak memahami tenis, akan berkata " Tengok, boring punya game, servis je, habis. Servis je, habis. Tak ada long game. Orang bodoh aje yang main game ni." Bagi mereka yang tahu main tenis pula, "Kalau tak pandai main tenis, main lah tempat lain. Ini tempat public. Malu lah sikit. Bodoh punya orang." Dan bagi mereka yang memahami pula akan mengerti yang dua orang ni tengah berlatih servis agar melepasi jaring tidak lebih 2 inci. Tengah berlatih untuk mendapatkan 'the perfect service'. Nampak gaya memang professional mereka ni.

Nah, saya katakan pada anak muda tadi. Tiga jenis pandangan dan kesimpulan dari tiga jenis manusia. Ini belum masuk lagi yang gila, sakit hati, dungu, yang otak tiga suku dan lain-lain.

Saya teruskan dengan cerita yang ke dua.

Ada 3 adik beradik. Anak bongsu belajar di darjah 2 sekolah rendah. Yang tengah, angah, pelajar tingkatan 2 sekolah menengah dan yang sulong sedang menuntut tahun 2 di universiti.

Satu hari si adik masuk ke bilik angah yang sedang baca buku. Si adik tengok si angah dengan penuh kehairanan. Dia tidak puas hati, lalu bertanya "Peliklah. Angah ni pandai ke baca buku". 'Kenapa?" si angah bertanya balik, dengan kehairanan juga. "Kat sekolah, cikgu ajar membaca itu mesti dengan mengeja, barulah betul. Eja satu-satu. K U......ku, C I N G.....cing - kucing. Ini angah main sebut je, langsung tek mengeja. Si angah tergelak dan tersenyum. 'Alamak macamana nak cakap ni?' Si adik yang tadi hairan kali ini nampak marah pulak. Si angah pun berkata, "Dik, kalau nak tengok lagi pelik, esok cuba tengok si along baca buku."

Esoknya si adik pun menunggu saat Along baca buku. Si along duduk di mejanya, mengeluarkan buku dan terus membaca. Si adik mula bingung lagi hairan kerana kali ini satu suara pun tidak keluar dari mulut along, tetapi sehelai demi sehelai mukasurat buku itu diselak. "Baca ke tak baca ni?" bermain-main di kepala adik tadi. Si adik memberanikan diri dan berkata, "Cikgu along dan cikgu angah tak bagus lah. Tak pandai ajar membaca. Cikgu adik pandai, dia ajar adik mengeja, sebut satu-satu, bila adik dah dengar dan betul barulah adik sebut betul-betul. Along langsung tak ada bunyi. Along pun tak tahu yang along baca tu betul ke tidak." Si along pun berfikir sebentar 'Alamak..macaman nak cakap ni' sebelum menjawab, " Adik, kalau cikgu along salah, cikgu angah salah besok adik 'check' ayah pulak. Tengok cikgu ayah pandai ke tidak. Cikgu ayah suruh ayah lepas baca, tanpa sebarang suara dan tanpa mengeja, terus tidur.

'Nanti adik bila sampai tahap along nanti, adik akan mengerti sendiri"

Nah, bagaimana anak muda. Saya pasti kesemuanya benar. Cikgunya pun benar. Masing-masing betul dalam keadaan masing-masing.

Si anak muda mula tersenyum.

Pesan Guru: Jangan kau bagi makan, makanan enggang pada burung pipit. Makanan tu tak salah, cuma takut tercekik. Kalau bayi kecil diberi makan burger, tak jadi orang dia, mati !!


Perang Jantan - Kuantan

Saturday, June 13, 2009

Terima Kasih Syaitan. Ehh.. ye ke?

'Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu" - maksud Yaasin ayat 60

Bukan sahaja syaitan musuh yang nyata, malah lebih dari itu. Dia juga amat hebat, ilmunya lebih dari kita semua. Boleh baca al-Quran, malah lebih sedap dan sempurna dari kita. Ujudnya juga sudah berabad, sejak nabi Adam as lagi. Dalam berperang pula, si syaitan dah cukup masak, banyak pengalaman dan pakar dalam teknik dan taktik mengalahkan kita, sekarang pun jawatannya dah general. Dalam bidang ilmu pula, sudah sampai universiti langit, sudah jadi professor.

Jadi tidak hairanlah betapa ramai antara kita termasuk saya yang selalu tewas dengan tipu daya si syaitan. Umpama dalam perlawanan tinju pusingan pertama dah tumbang mungkin dua tiga kali. Namun pertarungan masih diteruskan. Walaupun tumbang tetap mahu bangkit lagi.

Ini tidak adil! Bagi saya perlawanan ini berat sebelah. Si syaitan 'heavyweight champion' nak disuruh bergasak dengan saya 'lightweght beginner' ni. Mana boleh.

Macamana nak berlawan dengan musuh yang tak dapat dilihat. Bentuk badan pun tak tahu. Nak tumbuk tang mana? Kalau pakai pistol, sudah tentu tak lut. Nasib baik dia ni pemalu sikit. Orang kata ramai yang pengsan tidak pun demam dua tiga hari kalau dia senyum pada kita. Itu baru senyum, kalau dia tunjuk muka dia masa tengah 'angin' tak tahu lah.

Yang saya nampak musuh saya tu ha, yang di taman perumahan saya, asyik mengganggu keharmonian dengan muzik bising tengah malam. Yang seorang lagi tu pula kalau nak 'parking' kereta, agak-agak lah. Saya pun ada 2 buah kereta, tak adalah 'park' kereta bersimpang siur. Ataupun di office, ada juga musuh saya yang suka mengadu domba. Yang satu lagi sudah ditolong, dibagi duit, boleh mengata kita balik. Tak kenang budi betul. Tak puas hati, face to face lah. Ada harapan juga nak menang. Tetapi kalau dengan si syaitan ghaib tu, sorry lah bro next time je le.

Syaitan yang ghaib tu, saya tak nampak dan tak nak gaduh dulu. Tungguuuuu. Tetapi kalau manusia yang berperangai syaitan tu boleh lah, masalahnya banyak sangat lah pulak. Nak kata manusia, dah macam syaitan. Nak kata syaitan, boleh lah juga, cuma belum cukup handal lagi. Mungkin anak buahnya, sedang dalam peringkat training lagi. Dan yang kaki penipu, perasuah, yang dengki khianat, suka nak menjatuhkan orang lain macamana pula, syaitan juga kot. Saya kadang-kadang pun naik syaitan juga bila tengok syaitan2 ni.

Jadi bagaimana. Hanya inilah mampu kuucapkan.

'Ampunilah daku Ya Allah, sesungguhnya aku tak mampu menghadapi cobaan ini.'

Sememangnya saya tak mampu. Dengan yang nyata syaitan berbentuk manusia pun saya tak terdaya, akhirnya saya pula yang jadi syaitan, inikan pula si syaitan ghaib yang selalu menghasut secara halus dan lembut agar meragui keesaanMu dan keaggunganMu.

'Ya Allah janganlah Engkau tinggalkan aku keseorangan, bantulah aku melawan syaitan yang di dalam diriku ini.'

Pesan Guru: Nanti ada satu saatnya engkau akan berterima kasih pada syaitan kerana pada hakikatnya dia dijadikan sebagai ujian adakah engkau sudah benar-benar kuat dan menjadi lebih berhati-hati. Tanpa gangguan dia engkau pasti tidak mahu merendah diri pada Allah dan memohon pertolonngan dan berdoa. Syaitan itu musuhmu namun ada satu saat dia tidak mampu lagi dapat mempengaruhimu.

Sabda Nabi saw: Orang yang kuat itu bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh di medan peperangan tetapi mereka yang dapat menahan marah di saat dia sememangnya layak marah.








Monday, June 8, 2009

Apasal Perang Jantan? Cerita Dari Guru - 2

Ada yang bertanya, kenapa pakai nama Perang Jantan sebagai nama blog.

Cerita dari Guru - 2, ni mungkin dapat menjawab persoalan itu.

Ketika ditentang oleh kaum kafir quraish, maka Nabi Muhammad saw bersama pejuang Islam sentiasa harus bersiap menghadapi peperangan. Pihak musuh sudah tentu lebih besar jumlahnya dan lebih hebat lagi senjata dan alat kelengkapannya.

Namun pertolongan dari Allah tiada siapa yang dapat mengalahkannya.

Selanjutnya, ketika dalam persiapan menghadapi satu lagi perang, Ali ra telah bertemu Rasullullah dan bertanya maksudnya "Ya Nabi, mana lagi orang kafir yang harus aku tewaskan."

Nabi saw menjawab, "Hai Ali, yang kamu itu perang betina. Kamu ingin lihat perang jantan, lihat di sana tu Abu Bakar sedang duduk berzikir. Dia sedang berperang dengan dirinya."

Pesan Guru: Syaitan, jin atau apa saja musuh yang di luar tu senang je kau kalahkan, asalkan kau dapat mengalahkan syaitan yang berada dalam dirimu (hawa nafsu, sombongmu dan keinginanmu). Itu baru Perang Jantan.

Saturday, May 30, 2009

Cerita dari Guru

Sebuah panah mengenai Rasulullah saw.. Peristiwa ini menjadikan beliau sakit, di tempat tidur dengan tubuh yang lemah. Maka datang Abu Bakar r.a. mengunjungi dan dia merasa sangat sedih ketika melihat Rasulullah saw. tergeletak lemah di tempat tidur.

Ketika Abu Bakar kembai ke rumah, ia terserang sakit akibat kesedihannya terhadap Rasulullah saw.. Dan mana kala Rasulullah saw. telah sembuh, beliau mengunjungi Abu Bakar ash-Shiddiq r.a. Melihat kedatangan Rasulullah, wajah Abu Bakar r.a. berseri-seri dan ia sangat gembira mengetahui kesembuhan Rasulullah saw. yang akhirnya juga menjadikannya sembuh berkat melihat Rasulullah saw.

Kemudian Abu Bakar r.a. mendendangkan sebuah syair yang mengungkapkan rasa cintanya yang tidak ada bandingannya kepada Rasulullah saw,

Aku mengunjungi kekasihku yang tengah sakit

Maka aku juga menjadi sakit akibat rasa sedihku terhadap penyakitnya

Dan ketika kekasihku sembuh, dia datang mengunjungiku

Maka aku pun menjadi sembuh karena memandang dirinya



100 Qishshatin wa Qishashati min Hayaati Abu Bakar ash-Shiddiqiid r.a Karya Muhammad Shiddiq al-Minsyawi