Wednesday, October 26, 2011

PERKASA Bangun! Jangan Tidur... Banyak Kes Ni

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) baru-baru ini telah buat laporan kepada SPRM berhubung isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby. Perkasa mempersoalkan kemungkinan ujudnya penyelewengan dan salah guna kuasa oleh mereka yang berkepentingan, lihat http://www.utusan.com.my

Sekarang ni Perkasa tidak perlu susah payah nak cari isu. Laporan Ketua Audit Negara telah dikeluarkan dan banyak isu atau urus niaga yang meragukan dan yang memperlihatkan pembaziran atau penyelewengan. Apa lagi dengan projek kerajaan yang gagal, terbengkalai atau yang diuruskan dengan kepala lutut bukannya dengan kepala otak. Baca di sini http://www.audit.gov.my

Wang rakyat tidak diurus dengan cermat dan baik. Pendek kata mereka ini mengkhianat amanah yang diberikan.

Perkasa boleh pilih mana-mana isu atau perkara yang sesuai atau dia suka.

Boleh pilih Kementerian yang berkenan di hati, Kementerian Pelancongan ke, Kementerian Pertanian ke, Kementerian Luar Bandar pun boleh juga.

Tak suka kacau kementerian, boleh pilih tajuk... tajuk lembu boleh. Tak suka lembu, boleh pilih kuda.

Kalau tak suka binatang boleh pilih barang. Nak barang apa? Rak ada, komputer ada, gula pun ada. Nak lagi.... teropong pun ada.

Nak ikut negeri pun tak ada masalah, boleh combine lagi. Sabah dan komputer, Johor dan tanah, Selangor dan....., Penang dan.......  Carilah sendiri mana yang suka.

Harap Perkasa tak terlewat dalam mendedah isu supaya disiasat dan yang didapati bersalah diambil tindakan. Pihak Pakatan Rakyat dah tak sabar-sabar nak mencanangkan isu-isu ini.

Take the lead Perkasa.Tunjukkan pada mereka yang Perkasa memang betul-betul ingin meningkatkan integriti dan kredibiliti jentera kerajaan dan sektor awam, dan juga membaik pulih persepsi dan pandangan serong rakyat terhadap kementerian atau agensi kerajaan dalam soal amanah, kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem.

Sebagai pertubuhan yang besar dan gagah, Perkasa harus berani tampil dengan isu-isu sebegini; ketirisan beratus juta ringgit, peniaga dan petani kecil dipermainkan bukannya dibantu, didorong dan ditunjuk-ajar, prosedur dan protokol diketatkan pada yang lemah walhal yang besar dilepaskan dengan banyak kelonggaran.

Perkasa harus mendesak kes-kes ini disiasat serapi-rapinya agar tidak berulang lagi dan mereka yang bersalah dikenakan tindakan atau amaran atau sebagainya. Mereka yang bersalah harus disingkirkan dari jawatan, tidak kira pangkat, bulu dan warna kulit. Jangan banyak sangat berpolitik, lakukan ini demi agama, bangsa dan negara.

Kalau Perkasa sendiri merasakan isu-isu yang tersebut dalam Laporan Audit itu kecil dan tidak wajar di diperbesarkan, ketahuilah berapa ramai jiran kita, saudara kita, kenalan kita yang harus berhutang untuk membeli beras di rumah dan untuk menyambung kehidupan untuk hari esok. Mereka ini mungkin boleh dibeli dengan sehelai kain pelikat atau sekampit beras ketika pilihanraya. Ya biarlah mereka ini tetap bodoh dan biarlah mereka ini tetap susah agar senang untuk dirasuah, digula-gulakan, dibuli dan ditipu ketika pilihanraya.

Saya tidak sentuh lagi pasal kepiluan anak-anak yatim yang hanya diraikan ketika Hari Raya, saya tidak sentuh lagi kesedihan warga tua yang tiada tempat perlindungan, saya belum sentuh lagi ibu-ibu tunggal yang serba salah kerana tidak ada pilihan pekerjaan mana yang sesuai untuk menyara anaknya, saya takut juga nak sentuh berapa ramai ibu bapa yang kelam kabut meminjam wang untuk perbelanjaan sekolah anaknya menjelang awal tahun, saya dah bosan mendengar keluh kesah penjaja dan peniaga yang susah mendapat tempat untuk meniaga apalagi untuk dapat untung yang mencukupi untuk membeli barangan modal, dan saya juga tidak hendak menyentuh kes ini dari sudut ajaran Islam. Masing-masing mengaku beragama Islam dan jaguh dalam hal itu.

Sesiapa saja yang waras akal dan fikirannya tidak akan menyokong kes-kes ini yang jelas-jelas pembaziran, pecah amanah, dan kegagalan berfungsi sebagai penjawat awam. Apakah ratusan juta itu tidak banyak? Mungkin celah gigi je bagi mereka, tetapi pada rakyat, kenalan dan sahabat kita seperti yang saya sebutkan di atas? Tanyalah mereka, anda pasti ada kenalan seperti mereka, atau tanyalah diri sendiri.

Apakah Perkasa hendak berdiam diri padahal lantang dalam hal yang lain, atau mungkin ada NGO-NGO lain yang bebas dan berani bersuara ingin mengambil alih peranan.

Pembaziran dan ketirisan wang menyebabkan kerajaan hilang atau lesap kewangannya dan duit ini hanyut ke tempat yang tidak sepatutnya, bahananya adalah rakyat yang terpaksa memikul beban dan derita apabila cukai terpaksa dinaikkan, harga barangan dinaikkan, bayaran untuk itu dan ini diujudkan, segala bentuk service diadakan kononnya value-added padahal nak mengikis wang rakyat bagi menampung ketirisan tadi.

Saban tahun perkara durjana ini berlarutan, dan mereka ini pengkhianat negara tetap berada di situ.

Dan saban tahun jugalah rakyat merayu dan meminta sedekah agar diberi bantuan, isi borang macam-macam, turun naik pejabat banyak kali, entah duit bas ada ke tidak, agar dipertimbangkan untuk diberi subsidi, pinjaman, peruntukan.... daripada pengkhianat ini, ...... dari wang yang sepatutnya sudah menjadi hak mereka lama dulu.

Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 - BARU AKU TAHU

Hari ini 9 Julai 2011, aku tiada apa-apa rancangan dan tiada urusan kerja dan perniagaan.

Suratan atau kebetulan.

Jadi aku duduk di rumah sambil mengikuti perkembangan mengenai Demonstrasi Bersih 2.0. Sejak pukul 9.30 lagi sudah bersedia online dengan laptop dan menonton Astro Aljazeera. Aku ingin melihat dan menilai peristiwa ini detik demi detik hingga ke akhirnya.

Apa pasal Bersih 2.0 ini buat banyak pihak jadi gila dan tak tentu arah. Aku rilek je, apa pasal kecoh-kecoh ni.

Dari 9.30 pagi hingga jam 5.00 petang aku online meneliti live update Bersih 2.0, bukan satu, tapi 3 live update, dan sambil tu baca website dan blog. Campur lagi dengan Astro Aljazeera.

Dan sekarang, inilah pemerhatian dan rumusan ikhlas aku  mengenai Bersih 2.0 ini.

1. Ini adalah perhimpunan aman, yang datang termasuk semua lapisan masyarakat sebahagiannya kakak-kakak, gadis dan awek, keluarga, pakcik, dan orang tua. Tiada wajah bengis atau senjata merbahaya. - jadi apa yang kecoh sangat ni.

2. Apabila keadaan menjadi tegang antara pendemo dengan pihak polis, dengan air, gas dan tangkapan, suasana masih lagi terkawal, tiada yang menghunus keris ke, tombak ke, samurai ke atau molotov koktail. Polis kelihatan agak keras dan ada yang melampau, tapi aku rasa masih lagi dalam keadaan terkawal. Syabas kepada pendemo dan juga polis, aku rasa 90% dari mereka semua masih dapat mengawal perasaan dan kesabaran masing-masing. - yang lagi 10% tu biasalah, mesti ada yang sewel, lupa diri dan perasan bagus.

3. Yang paling memalukan ialah apabila kenyataan dari Ketua Polis Negara (KPN) yang nyata dan terang-terangan adalah penipuan. Dia kata jumlah pendemo 6,000 orang. Aku lihat foto dan gambar, jumlah pendemo paling tidak 50,000 orang. Ini kenyataan yang tidak jujur dan berniat menipu. Apa lagi nak dikata kalau KPN sendiri menipu, dan dalam keadaan yang beliau sendiri tahu yang orang akan sedar tentang penipuan itu. Aljazeera pun cakap mencecah maksima 100,000 orang. - ada aku kisah 100 ribu ke, 6 ribu ke, 50 ribu ke, tapi terang-terang menipu ni yang aku tak boleh tahan. Adakah dia ingat semua orang bisa ditipu, atau semua orang penipu?

4. Yang kena tangkap iaitu pemimpin Bersih dan pemimpin pembangkang aku tidak kisah sangat. Semua dah tahu yang mereka ini atas perintah mahkamah tak boleh menjejaki kawasan tersebut, jadi apa boleh buat, dah jadi pemimpin kenalah ada di barisan hadapan. Berani buat berani jugalah terima risiko. - fair and square.

5. Satu lagi, Ketua Pemuda UMNO Khairy, nak juga tumpang semangkuk berdemo..... apa kes bro. Kau carilah tarikh lain hari Ahad ke, panggillah 1juta ke, 2 juta ke, atau 1 malaysia ke, berdemolah sampai subuh ada aku kesah, ada orang kesah. Ini orang lain punya program, kau nak buat kacau, tumpang glamour... tak ada class lah. Orang lain nak kena tangkap, kau pun nak kena tangkap jugak. - Bro, kau buat program pendidikan atau jati diri untuk anak-anak muda, aku pun sokong 100%. Tapi jangan ini macam cara la.

6. Dalam aku tengok dan baca comment atau tweet, banyak yang mengarut dan bermotif jahat. Nampak sangat. Dua-dua pun sama, yang pro dan anti Bersih. Make it simple beb. Kalau kau pro kerajaan, simpan komen-komen  jahat dan bodoh tu, jangan nak disiarkan, jangan tunjukkan kebodohan itu. Yang pro pembangkang pun, komen kau tu, orang boleh tahu berniat bersih atau memang nak cari pasal. Kau punya politik tu nanti kau boleh teruskan, esok ada, isnin ada, waktu pilihanraya pun ada...... bertekaklah sampai muntah.

Akhir sekali Bersih 2.0 menunjukkan rakyat jelata yang turun menyertai berdemo semakin berani dan kental semangatnya. Ini aku puji, harus berani menentang yang tidak betul, yang melampaui batas, berani menentang ketidakadilan dan berani melawan penipuan.

Inilah rupanya sebab mengapa Bersih 2.0 ni kecoh, yang ada kuasa menjadi takut, yang diberi kuasa berlebih-lebih lah pulak tunjuk kuasa, yang steady dah nampak goyah, yang berilmu dah jadi penipu, yang dulu takut dah tunjuk kuku, yang dulu bisu dah berkata seribu, tapi aku.... masih macam dulu, cuma satu....... jangan cuba nak menipu.