Saturday, August 22, 2009

Selamat Datang Ramadhan!

Marhaban Ya Ramadhan! Selamat Datang Ramadhan!


Untuk permulaan menghadapi puasa Ramadhan ini, jadikanlah kita semua hamba Allah yang mengalu-alukan dan menanti kedatangan bulan yang mulia ini. Dan niat dan tekadkan di hati sanubari kita bahawa puasa Ramadhan kali ini akan menjadi terlebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya.


Puasa adalah urusan antara seorang hamba dengan Penciptanya Allah. Puasanya hanya untuk Allah semata-mata.

Dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Imam Muslim, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

”Ertinya : Setiap amal manusia adalah untuk dirinya, satu perbuatan baik akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwatnya, makanannya, minumannya untuk Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagian, yaitu kebahagian saat berbuka puasa dan kebahagiaan saat berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak wangi kesturi.”

Berpuasalah kita semua dengan puasa yang sempurna, bukan hanya setakat menahan diri dari makan, minum dan keinginan shahwat, malah mencakupi tingkah laku jasmani dan rohani agar tidak dilalaikan pada selain Allah.


Bagi menjelaskan lagi tuntutan puasa batin ini, Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus: iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus): iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.


Bagi yang ada kekuatan dan kemampuan untuk mengerjakan puasa ada lagi puasa sunat yang boleh dilakukan.

Puasa sunat Isnin dan Khamis.

Puasa 3 hari setiap bulan.

Puasa Nabi Daus a.s.

Puasa Nabi Daud a.s. bermaksud; puasa sehari dan berbuka sehari dengan mengecualikan hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Dzul-Hijjah). Kelebihannnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud; beliau tidur separuh malam, bangun (mengerjakan solat) sepertiganya dan tidur semula sepernamnya. (Adapun puasa pula) beliau berpuasa sehari dan beliau berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari” (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).


Semuanya terserah pada diri masing-masing. Saya belum cukup kuat untuk melakukan puasa sunat meskipun puasa Isnin dan khamis.


Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 286 bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”


Sebagai akhir kata, untuk mereka yang beriman dan menunaikan ibadat puasa, ada khabar gembira.


Bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan: kebahagiaan ketika ia berbuka dan kebahagiaan ketika ia berjumpa dengan Tuhannya" (Bukhari dan Muslim).


Jelasnya di sini, untuk puasa jasmani khabar baik apabila berbuka ialah dapat merasai dan menikmati makanan dan minuman setelah lapar dan dahaga sepanjang hari. Begitu jua dengan keinginan syahwat yang berjaya dibendung semasa puasa, dapat kembali bersama isteri.


Kegembiraan dan kenikmatan yang tidak terhingga ialah apabila bertemu dengan Tuhan. Inilah ganjaran untuk puasa rohani dimana kita telah berperang melawan nafsu dan mengalahkan bisikan syaitan yang selalunya mengajak kepada kesesatan.


Anda bagaimana?


Selamat berpuasa.




Perang Jantan
: Cukuplah berpuasa semata-mata mengharapkan keredhaanMu, Ya Allah. Sekiranya amalanku ini masih tidak mampu untuk membawa aku dekat pada Mu, maka tolonglah aku tunjukkan dan bawakanlah aku pada orang yang dekat pada Mu.

No comments:

Post a Comment